SHAH ALAM - Gabungan Kesihatan Malaysia menggesa kerajaan segera meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang bertujuan mengawal penggunaan dan pendedahan kepada produk tembakau atau nikotin di negara ini.
Gabungan itu dalam satu kenyataan berkata, RUU tersebut mengandungi pelbagai peruntukan selaras dengan Konvensyen Kerangka Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah ditandatangani oleh Malaysia pada 2005.
"Antara peruntukan itu ialah mewajibkan pendaftaran produk tembakau atau nikotin sebelum ia boleh dijual di pasaran dan melarang pengiklanan, promosi serta tajaan produk termasuk barang tiruan.
"Penjualan produk atau bahan merokok dilarang kepada mereka yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 dan mengenakan kawalan harga, pembungkusan serta pelabelan produk termasuk amaran kesihatan bergambar.
"Merokok di tempat-tempat awam tertentu juga perlu dilarang dan menetapkan liabiliti pengilang, pengimport serta pengedar produk itu terhadap kemudaratan yang ditimbulkan oleh produk mereka,” katanya pada Selasa.
Selain itu, gabungan itu menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan mencapai sasaran Generasi Penamat untuk mengurangkan prevalens perokok kepada kurang lima peratus menjelang tahun 2040.
Gabungan itu turut menyatakan kebimbangan dengan situasi semasa yang menunjukkan bahawa rokok dan vape masih menjadi masalah kesihatan awam yang serius, terutama dalam kalangan remaja serta dewasa.
"Kami percaya bahawa RUU ini adalah langkah proaktif dan progresif untuk melindungi kesihatan orang ramai daripada bahaya tembakau atau nikotin,” ujarnya.
Tambah gabungan itu, menurut data WHO, kira-kira 20,000 orang mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan tembakau.
Katanya, peratusan perokok di Malaysia adalah 22.5 peratus dengan kadar perokok dalam kalangan remaja sebanyak 18 peratus.
Justeru, gabungan itu berharap RUU tersebut akan mendapat sokongan sebulat suara daripada semua ahli Parlimen tanpa mengira afiliasi politik dan diberi keutamaan dalam agenda Parlimen serta memastikan bahawa ia dibentangkan, dibahaskan atau diluluskan tanpa sebarang kelewatan.
"Kami tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh kerajaan untuk menunda proses pembentangan RUU dan menganggap penangguhan ini sebagai satu pengkhianatan terhadap kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.