KUALA LUMPUR - Tempoh dua minggu penangguhan perobohan berakhir esok namun penduduk Segambut Permai masih dihimpit masalah penempatan.
Kediaman mereka sepatutnya dirobohkan pemaju pada 9 Disember lalu namun ditangguhkan selepas mendapat campur tangan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Wakil penduduk, Mohd Nazeem Sultan Mohamed, 36 berkata, tempoh berkenaan bagi membolehkan 33 keluarga menyelesaikan masalah penempatan mereka.
"Sebahagian besar penduduk telah ditawarkan rumah transit selama enam bulan di beberapa Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun lapan keluarga belum mempunyai rumah ganti kerana tidak memenuhi syarat.
"Sebolehnya, kami mahu urusan penempatan ini diselesaikan terlebih dahulu sebelum perobohan dilakukan," katanya.
Selain itu katanya, penduduk meminta kerajaan menimbangkan rayuan untuk menyediakan penempatan kekal.
"Selepas tempoh enam bulan kami akan dihimpit masalah sama. Jadi kami mohon penempatan kekal.
Tidak semua penduduk akur rumah mereka dirobohkan namun yang menjadi keutamaan kami ialah tempat tinggal," katanya.
Beliau turut meminta isu penempatan itu mengambil kira tawaran rumah berdasarkan jumlah keluarga dan isi rumah.
"Dalam situasi saya, rumah di Segambut Permai diduduki 10 penghuni termasuk dua kakak yang telah berkeluarga namun hanya ditawarkan satu rumah yang mempunyai satu bilik.
"Keluarga saya ditawarkan rumah Selasa lalu dan ada antaranya pada Jumaat, kami perlukan masa untuk isi borang dan ambil kunci selain membersihkan rumah serta urusan lain berkaitan," katanya.
Jumaat lalu pada satu sidang media dilakukan, penduduk meminta kerajaan menyediakan mereka rumah kekal sebagai ganti pengosongan rumah sedia ada.
Pemaju mengarahkan penduduk Segambut Permai mengosongkan rumah pada 9 Disember namun ditangguh selama dua minggu dan tarikhnya berakhir esok.