Reman tamat, Kean Wong dibebaskan hari ini

Iklan
Mohd Shuhaily.

KUALA LUMPUR - Editor buku kontroversi berjudul"Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia”, Kean Wong yang ditahan pada Isnin, berhubung gambar kulit buku terbabit didakwa menghina Jata Negara, telah dibebaskan pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 58 tahun itu, dipercayai menetap di Sydney, Australia telah ditangkap di pejabat Imigresen Kelana Jaya, Selangor semasa dia memohon memperbaharui pasport.

Iklan
Iklan

"Suspek telah dibebaskan hari ini (Selasa) setelah tempoh reman tamat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Shuhaily berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Iklan

"Orang ramai turut diingatkan agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutamanya melibatkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan Kean dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk disoal siasat selepas ditahan.

Pada 2020, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Kean berkaitan gambar kulit buku berkenaan yang didakwa menghina Jata Negara.

Berdasarkan siasatan, penyunting buku itu memegang status Pemastautin Tetap (PR) Australia sejak lebih 10 tahun lalu sebelum dikesan menyambut perayaan Tahun Baru Cina di Malaysia bersama keluarganya pada awal tahun 2020 dan dia kemudian kembali semula ke Australia.

Lapan penulis buku itu serta pereka grafik, pelukis muka hadapan serta penasihat jualan turut dirakam keterangan berkaitan kes tersebut.