SHAH ALAM - Seorang warga Malaysia yang kini berada di Semenanjung Gaza berdepan detik cemas apabila bom serangan Israel melintas di atas kepala semasa keluar membeli bantuan makanan hasil sumbangan orang ramai.
Nurul Ain Haron, 37, berkata, ketika kejadian itu berlaku, dia bersama suaminya, Mohamed Adan Shaat sedang menaiki teksi terselamat daripada ledakan bom yang berlaku kira-kira 50 meter dari jarak mereka.
"Kalau ia (teksi) lalu tempat lain, wallahualam apa yang terjadi dengan kami. Alhamdulillah, kami selamat dan barang bantuan juga telah diagihkan kepada penduduk di sini.
"Hari kelapan, kami tiada bekalan air, elektrik dan ramai orang dah lari keluar dari rumah masing-masing,” katanya menerusi hantaran video di media sosial pada Selasa.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan angka kematian di Gaza hampir 1,000 dalam serangan yang memasuki hari keempat dilaporkan Sinar Harian pada 12 Oktober lalu.
Sementara itu, menurut suaminya, Mohamed Adan, serangan yang dilakukan Israel tahun ini lebih teruk berbanding pada 2014.
Jelasnya, baru hari kelapan, lebih daripada 2,750 syahid dalam pertempuran dan kali terakhir pada 2014 dalam tempoh 51 hari kira-kira 2,000 syahid.
"Jadi, apa yang jadi dalam lapan hari ini lagi teruk jika nak dibandingkan dengan apa terjadi dalam 51 hari. Boleh bayangkan bagaimana teruknya,” ujarnya.