Kehadiran pelajar ke sekolah di Perak merosot

Iklan
Khairudin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang sempena Majlis Penutupan Program 3R @ Perpustakaan Awam Dato' Seri Husni, Chemor pada Selasa.

IPOH - Kehadiran pelajar ke sekolah rendah dan menengah di Perak didapati semakin merosot melibatkan seluruh daerah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, setiap daerah terdapat sekolah yang mempunyai kehadiran harian kurang 95 peratus malah terdapat sekolah mempunyai kehadiran hanya 80 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi itu tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan agar semua sekolah mesti mencapai kehadiran pelajar melebihi 95 peratus setiap hari.

"Antara punca yang dikenal pasti adalah sikap sendiri, masalah keluarga, pengangkutan dan pengaruh rakan sebaya.

Iklan

"Selain itu, mereka yang bekerja pula merasakan sudah ada pendapatan sendiri, jadi tak perlu ke sekolah sedangkan untuk jangka panjang mereka perlukan pendidikan, sijil peperiksaan untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program 3R @ Perpustakaan Awam Dato' Seri Husni, Chemor di sini anjuran bersama Mimbar Nusantara Holding dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, Khairudin berkata, semua sekolah ada masalah kehadiran dan ada daerah yang agak kritikal terutama sekolah yang berada di kawasan pedalaman atau yang ramai pelajar Orang Asli yang mungkin ada masalah pengangkutan dan mereka tidak mahu duduk asrama.

Khairudin berkata, bagi mengatasi masalah tersebut Jabatan Pendidikan Negeri JPN) Perak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah telah mengadakan Program Ziarah Cakna dan Ops Bantu.

Katanya, melalui program tersebut senarai pelajar yang culas ke sekolah dikenal pasti dan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku ketidakhadiran pelajar tanpa sebab.

Menurutnya, kerjasama dalam kalangan masyarakat juga diperlukan untuk memastikan pelajar tidak ponteng dan hadir ke sekolah untuk belajar.

"Kita mengharapkan dengan adanya gabung jalin program kerjasama antara komuniti dan juga pihak lain seperti polis, ketua kampung, penghulu dan sebagainya yang boleh membantu untuk mengenal pasti pelajar yang mungkin tidak hadir.

"Kalau tidak hadir, mereka tak belajar jadi kita khuatir, kalau tidak belajar macam mana mereka nak menghadapi peperiksaan dan ujian yang dijalankan pihak sekolah. Jadi penekanan kepada kehadiran itu cukup penting," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairudin amat mengalu-alukan penglibatan pihak swasta dalam membantu memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah seperti dilakukan oleh syarikat Mimbar Nusantara Holding berkenaan.

Pada majlis tersebut, pemenang utama pertandingan yang diadakan sempena Program 3R @ Perpustakaan Awam Dato' Seri Husni itu menerima komputer riba dan tablet selain pihak sekolah turut menerima hadiah wang tunai.