IPOH - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melancarkan Tabung Air Mata Palestin sebagai tanda solidariti membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, tabung berkenaan yang menyasarkan kutipan RM170,000 akan digerakkan kepada 17,000 kakitangan Kemas seluruh negara bermula pada Selasa.
"Kutipan tabung ini juga akan dipanjangkan kepada ibu bapa tabika dan peserta kelas-kelas kemahiran di peringkat daerah dan Parlimen.
"Dengan usaha ini, kita sasarkan dapat mengumpul sekurang-kurangnya RM170,000 untuk disumbangkan terus kepada mangsa," katanya ketika ditemui sempena majlis penutup Festival Kesenian Islam (iFEST) Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Casuarina dekat Meru pada Selasa.
Penganjuran program kali ke-7 itu dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed.
Ahmad Kamal Idris berkata, kutipan dana berkenaan sebagai usaha dalam menyalurkan sumbangan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang amat memerlukan pelbagai bentuk bantuan ketika ini.
Katanya, inisiatif itu juga digerakkan bersempena sambutan Program Hari Potensi Kemas peringkat kebangsaan yang bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Shah Alam pada November depan.
"Tabung untuk rakyat Palestin ini baru pertama kali dilaksanakan. Sebelum ini Kemas pernah melancarkan tabung bencana untuk rakyat di negeri-negeri yang terjejas dengan banjir," katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Rubiah berkata, sehingga kini Kemas mempunyai 28,183 peserta melibatkan 1,355 kelas dan 246 pemaju masyarakat pembangunan insan di seluruh negara.
Katanya, kesemua mereka bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti pembangunan insan selari dengan hasrat kementerian untuk memperkasa komuniti luar bandar dengan pengetahuan dan kemahiran insaniah.
"Ini satu pencapaian yang membanggakan kerana Kemas masih lagi relevan dan mampu memberi pendidikan tidak formal yang terbaik untuk masyarakat desa," katanya.
iFEST yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 Oktober lepas telah disertai lebih 500 peserta kelas pembangunan insan Kemas seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Tujuh acara dipertandingkan iaitu nasyid, tilawah al-Quran, dai Kemas, dakwah@media, kelas bina insan gemilang peringkat negeri dan kebangsaan serta pemaju masyarakat gemilang dengan Johor dinobatkan sebagai johan keseluruhan.