SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwanya memperalatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ia susulan kes berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin yang perlu melunaskan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai, bagi tahun 2011 hingga 2017 oleh LHDN.
Menurut beliau, jika terdapat bukti Najib diperalat oleh pihak tertentu perkara tersebut perlu disertakan bukti supaya dapat dinilai oleh pihak penghakiman.
Ujarnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Puad seolah-olah menganggap hakim itu tidak mengetahui cara menilai bukti dan saksi.
"Jika Puad ada bukti bahawa LHDN telah diperalat oleh saya, kenapa dia tidak beri bukti itu kepada peguambela Najib dan menawar diri sebagai saksi pembelaan?
"Tetapi perkara ini tidak dilakukan olehnya, sebaliknya dia cuma ‘meroyan’ di luar mahkamah dan membiar Najib menghadapi saman serta kalah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Pada Isnin, Najib dan anaknya, Mohd Nazifuddin perlu melunaskan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai, bagi tahun 2011 hingga 2017 kepada LHDN.
Keputusan itu diperoleh selepas lima panel Mahkamah Persekutuan pada Isnin, diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu dan Nazifuddin terhadap penghakiman terus diperoleh LHDN untuk mendapatkan nilai cukai itu.
Mengulas lanjut, menurut Mahathir, kes yang melibatkan kerajaan perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak Peguam Negara sebelum dibawa ke mahkamah.
Jelasnya, hakim akan membuat penilaian berdasar kepada bukti-bukti yang dipamer dan turut memanggil saksi.
"Kalau Pejabat Peguam Negara merasa bahawa kes ini tidak mempunyai asas kukuh maka ia tidak akan dibawa ke mahkamah.
"Jika tiada saksi-saksi dan bukti-bukti yang sahih serta kukuh maka hakim akan membuang kes tersebut,” katanya.