GENTING GAZA - Kawasan lintasan sempadan Rafah yang menghubungkan Genting Gaza dengan dunia luar dibanjiri ribuan penduduk Palestin dan warga asing yang mahu melarikan diri daripada konflik Hamas-rejim Zionis yang memasuki hari ke-10 pada Isnin.
Orang awam berpusu-pusu ke kawasan bersempadan dengan Mesir tersebut selepas Israel dikatakan bersetuju dengan pelaksanaan gencatan senjata di selatan wilayah Gaza bagi membolehkan pembukaan 'pintu penjara' itu.
"Setakat ini, tiada perjanjian seumpama itu dicapai," ujar kenyataan ringkas dikeluarkan pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak khabar angin tentang kesepakatan dicapai hasil rundingan bersama Mesir dan Amerika Syarikat (AS).
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan 'koridor selamat' hanya dibuka selama tiga hari berturut-turut untuk penduduk Palestin berpindah dari utara ke selatan Gaza.
Ketika ini, kesemua laluan keluar dari Gaza masih ditutup, sekali gus menjadikan penduduk Palestin seakan-akan terkurung di dalam penjara susulan langkah pengepungan haram secara menyeluruh yang dilaksanakan ketika fasa awal peperangan tersebut.
Rejim Zionis dilaporkan sekali lagi membedil kawasan sekitar lintasan sempadan Rafah setelah lokasi tersebut dibedil sebanyak tiga kali sejak konflik terbaharu di Asia Barat itu tercetus pada 7 Oktober lalu.
Difahamkan, beberapa negara antarabangsa termasuk AS dan Britain juga menyarankan rakyat mereka yang terperangkap supaya menuju ke lintasan sempadan Rafah tersebut.
Sementara itu, Kaherah menuding jari menyalahkan pendirian 'keras kepala' Israel kerana enggan bekerjasama bagi membolehkan pembukaan lintasan sempadan Rafah tersebut untuk pemegang pasport antarabangsa dan penghantaran bantuan kemanusiaan.
Mesir bagaimanapun bimbang langkah itu berpotensi mencetuskan gelombang 'tsunami' pelarian Palestin setelah negara berkenaan berdepan desakan untuk menerima kemasukan golongan tersebut yang hilang tempat tinggal.
Negara Arab berpendapat keadaan itu sememangnya tidak boleh diterima kerana ia seperti satu bentuk pengusiran ke atas penduduk Palestin daripada tanah air mereka.
Data terkini diperoleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan lebih 423,000 penduduk Palestin daripada kira-kira 2.4 juta populasi di Genting Gaza terpaksa melarikan diri daripada serangan ganas rejim Zionis. - Agensi
Info:
>Lintasan sempadan Rafah merupakan 'pintu keluar' dari selatan Gaza dan bersempadan dengan Semenanjung Sinai di Mesir.
>Terdapat dua lagi lintasan sempadan ke Genting Gaza. Lintasan Erez yang menghubungkan dengan Israel di utara Gaza dan Kerem Shalom yang menjadi laluan penghantaran barangan komersial antara Tel Aviv dan selatan wilayah yang terkepung sejak 2007.