4 beradik tiada kad pengenalan diminta hadir ke JPN

Iklan
JPN meminta empat beradik yang didakwa dihalang ke sekolah kerana tidak memiliki kad pengenalan untuk hadir ke pejabatnya bagi membolehkan jabatan berkenaan mendapatkan fakta kes dan status sebenar berhubung perkara itu. - Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta empat beradik yang didakwa dihalang ke sekolah kerana tidak memiliki kad pengenalan untuk hadir ke pejabatnya bagi membolehkan jabatan berkenaan mendapatkan fakta kes dan status sebenar berhubung perkara itu.

Kenyataan JPN pada Selasa memaklumkan langkah itu juga bagi membolehkan jabatan berkenaan membuat penelitian dan memberikan khidmat nasihat sewajarnya berkaitan prosedur permohonan kewarganegaraan kepada Aziq Fadyan, 24, Azreen Batrisya, 22, Azzahra Batrisya,12, dan Azalea Batrisya, 9.

Iklan
Iklan

"JPN meminta agar orang ramai tidak mensensasikan perkara ini kerana ia adalah makluman dari satu pihak sahaja serta boleh memberikan tanggapan yang kurang tepat kepada perkhidmatan kerajaan.

"Proses yang dilaksanakan oleh JPN adalah sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Iklan

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang persoalan mengenai kewarganegaraan dan perkara berkaitan perkhidmatan jabatan berkenaan tidak perlu menggunakan khidmat orang tengah atau platform media sebaliknya hadir terus ke 212 pejabat JPN di seluruh negara.

JPN turut memaklumkan jabatan itu akan sentiasa membantu dan memberikan nasihat yang sewajarnya kerana setiap permohonan serta masalah individu memerlukan penyelesaian berbeza. - Bernama

Iklan