KOS sara hidup yang semakin tinggi memberi kesan secara langsung terhadap kewangan isi rumah terutama peningkatan harga makanan dan barangan di pasaran.
Isu barangan seperti beras, minyak masak, telur, ayam dan juga petrol bersubsidi sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia kini terpaksa dikongsi manfaat itu bersama warga asing.
Lebih teruk lagi apabila tular beberapa video warga asing menyembunyikan stok barangan makanan di pasaran sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai bagi mengelak berlakunya ketirisan dan memberi manfaat kepada warga asing.
Beliau yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata, pemberian secara pindahan tunai itu tidak boleh dilaksanakan untuk semua perkara, sebaliknya hanya beberapa urusan tertentu sahaja.
Walaupun kerajaan dilihat tidak mendiskriminasikan warga asing untuk membeli barangan bersubsidi, namun mekanisme itu perlu dikaji semula.
Rakyat hari ini benar-benar terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat ditambah pula tingkat gaji rendah menyebabkan mereka terpaksa bekerja lebih daripada satu pekerjaan.
Perkara tersebut bukan sahaja memberi kesan mental dan fizikal, ia juga berupaya menurunkan produktiviti rakyat yang akhirnya mengakibatkan tekanan perasaan atau stres.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan mempunyai dasar atau prinsip berkait subsidi supaya ia diberikan secara munasabah dan adil.
"Saya fikir pekerja asing datang sini untuk dapat gaji, bukan untuk dapat subsidi. Kita pun ada dasar supaya beri yang munasabah dan adil kepada semua termasuk bukan warganegara, tetapi tidak pula harus mana-mana negara beri subsidi kepada warga asing,” jelasnya.
Penulis berpandangan, kerajaan perlu mengkaji semula pemberian berkaitan subsidi kepada rakyat supaya ia boleh dimanfaatkan oleh pembayar cukai juga.
Namun jika perkara tersebut dilaksanakan adakah ia mampu dilakukan secara adil tanpa meminggirkan hak mana-mana pihak?