Kenyataan angkuh Netanyahu

Iklan
Penduduk Gaza yang cedera dipindahkan ke Hospital Al-Shifa selepas Hospital Al-Ahli dibedil roket Israel. - Agensi

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak mempedulikan kecaman antarabangsa susulan serangan udara rejim Zionis ke atas Hospital Al-Ahli di Genting Gaza.

Sebaliknya, Netanyahu dengan angkuh menuduh serangan di hospital penuh sesak itu berpunca daripada roket yang dilancarkan kumpulan Jihad Islam.

Iklan
Iklan

Hospital Al-Ahli yang hampir lumpuh merawat ratusan pesakit dan turut berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.

Serangan pada lewat malam Selasa itu menyaksikan 500 rakyat Palestin maut dan angka kematian mungkin lebih tinggi berbanding laporan awal.

Iklan

"Seluruh dunia harus tahu, pengganas (pejuang Palestin) di Gaza menyerang hospital di Gaza dan bukan IDF (Pasukan Pertahanan Israel).

"Mereka bunuh anak-anak Israel dan mereka juga membunuh anak-anak mereka sendiri," menurut Netanyahu di platform X.

Iklan

Pada masa sama, Netanyahu memberitahu bahawa analisis terhadap sistem operasi IDF menunjukkan roket yang dilancarkan bertubi-tubi dari Gaza terbang pada jarak amat hampir dengan hospital tersebut.

Benjamin Netanyahu

"Perisikan kami daripada pelbagai sumber menunjukkan bahawa Jihad Islam bertanggungjawab atas kegagalan pelancaran roket yang jatuh di hospital Gaza," katanya.

Bagaimanapun, tuduhan liar Netanyahu itu dinafikan oleh seorang jurucakap Jihad Islam.

"Ia sama sekali tidak benar. IDF cuba menutup jenayah kejam dan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam," katanya.

Rakaman video di hospital malang tersebut menunjukkan api menyambar bangunan dan kawasan hospital berselerak dengan mayat kebanyakannya kanak-kanak.

Beratus-ratus orang dilaporkan mencari perlindungan di hospital ketika letupan itu yang disebut Hamas sebagai 'pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan' dan 'jenayah pembunuhan beramai-ramai'.

Kira-kira 6,000 rakyat Palestin berlindung di hospital itu yang dilaporkan dibiayai oleh Gereja Anglikan.

Mayat mangsa serangan udara Israel di Hospital Al-Ahli dipindahkan ke Hospital Al-Shifa. - Agensi

Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) cuba meyakinkan Israel untuk membenarkan penghantaran bekalan kepada orang awam, kumpulan bantuan dan hospital yang terdesak di Genting Gaza yang telah dikepung sepenuhnya sejak serangan maut oleh Hamas di selatan Israel.

Ia juga berlaku sehari sebelum Presiden Joe Biden dijadualkan melawat wilayah itu untuk menunjukkan sokongan kepada Israel dan cuba menghalang perang daripada merebak.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas difahamkan telah membatalkan pertemuan dengan Biden sebagai protes terhadap serangan udara itu.

Mahmoud turut mengisytiharkan tiga hari berkabung susulan serangan itu.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi kenyataan di media sosial mengecam tindakan Israel atas serangan itu.

Beliau juga menyeru perlindungan segera terhadap orang awam dan penjagaan kesihatan serta menghentikan perintah pemindahan penduduk Palestin.

Kementerian Luar Sepanyol dalam satu kenyataan turut mengecam pembunuhan beramai-ramai di Hospital Al-Ahli dan menggesa undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati. - Agensi