Angkara cemburu, lelaki ditikam lebih 40 kali

Iklan
Muhamad Zaki. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian.

KOTA BHARU - Polis Kelantan mendedahkan punca kematian seorang lelaki etnik Rohingya di Kampung Melor Lama di sini pada Selasa adalah angkara cemburu.

Mangsa yang berusia 44 tahun itu dipercayai ditikam lebih 40 kali menggunakan sebilah pisau oleh rakannya berumur 30 tahun.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas mayat mangsa mendapati dia menerima tikaman berganda pada bahagian dada dan perut.

"Siasatan telah selesai, suspek direman mulai hari ini (Rabu) dan pihak kami telah merampas sebilah pisau yang digunakan. Untuk makluman juga, pisau itu telah dihantar ke Jabatan Forensik untuk padanan dengan asid deoksiribonukleik (DNA).

Iklan

"Kami mendapati mangsa pernah tinggal bersama suspek dan isterinya yang berusia 29 tahun sebelum ini," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pihaknya akan melakukan siasat lebih lanjut mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian sama ada mereka terserempak atau sebaliknya.

Iklan

Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada cerita rakan-rakan lain sehingga berlakunya kejadian itu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang lelaki etnik Rohingya ditemui mati dalam sebuah kebun jagung di Kampung Melor Lama dipercayai ditikam rakannya dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi.

Jiran suspek, Tengku Nur Ayunie Tengku Ismail, 29, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas nampak suspek memegang pisau dipenuhi darah di hadapan rumah yang disewanya.

Menurut Tengku Nur Ayunie, sebelum kejadian kira-kira jam 8 pagi, dia nampak basikal bekas penyewa rumah yang juga etnik Rohingya berada di hadapan kediaman berkenaan.

"Kami kenal lelaki itu kerana dia pernah menyewa di rumah sama kira-kira tiga tahun lalu tetapi kini sudah berpindah ke tempat lain.

"Tidak lama kemudian, saya dengar bunyi teriakkan yang kuat dan pergaduhan mulut dalam bahasa asing kerana rumah kami hanya bersebelahan sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun jelasnya, pergaduhan mulut selama 10 minit terhenti dan kira-kira jam 8.30 pagi, dia nampak suspek yang juga baru tiga bulan menyewa rumah berkenaan memegang pisau dengan tangan berlumuran darah serta dalam keadaan bingung.