Projek RTB: Kerajaan tidak diskriminasi mana-mana negeri

Iklan
Nik Nazmi (tengah) mendengar penerangan berkenaan pemulihan saliran di Taman Delima dan Taman Anggerik

SEREMBAN - Kerajaan tidak akan mendiskriminasi mana-mana negeri dalam melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), sebaliknya ia dibuat mengikut keperluan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mana-mana negeri yang didapati berdepan risiko berlakunya banjir besar akan diberi keutamaan.

Iklan
Iklan

"Kita tak diskrimasi ikut negeri tetapi kita ikut keperluan negeri tersebut dan memang ada keperluan di sesetengah tempat perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Jadi penilaian peringkat kerajaan ialah berdasarkan itu dan projek-projek berkeutamaan tinggi ini ada di pelbagai negeri," katanya kepada pemberita selepas melawat projek memulihkan saliran di Taman Delima dan Taman Anggerik di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, kerajaan akan melaksanakan tiga Projek RTB Berkeutamaan Tinggi di Negeri Sembilan melibatkan peruntukan RM550 juta.

"Ia ialah RTB Sungai Jelai di Kuala Pilah, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Linggi Fasa 5 dan RTB Sungai Golok di Port Dickson.

Iklan

"Untuk projek RTB di Negeri Sembilan, keseluruhannya melibatkan peruntukan RM200 juta dan kita juga ada projek berkeutamaan tinggi yang kita percepatkan proses perolehannya supaya dapat selesaikan isu banjir yang berlaku," katanya.

Ujarnya, kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan RM5 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan.

Tambahnya, sebanyak 101 kerja-kerja kecemasan di luar jangka yang melibatkan pelbagai daerah akan dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan tersebut.

"Sebanyak 42 kerja telah siap dilaksanakan, manakala 22 dalam pembinaan dan 37 lagi dalam proses perolehan," katanya.

Berkenaan projek memulihkan saliran di Taman Delima dan Taman Anggerik itu, Nik Nazmi berkata, ia melibatkan peruntukan pembangunan Persekutuan berjumlah RM730,600.

Jelasnya, kerja-kerja memulihkan tebing Sungai Simin sepanjang 55 meter dan pembaikan longkang outlet tersebut telah bermula pada 3 Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 21 Disember ini.