KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang merancang untuk memastikan setiap negeri mempunyai jawatankuasa di peringkat Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi melihat keseluruhan permasalahan melibatkan golongan veteran.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah itu merupakan salah satu strategi kerajaan dalam usaha memperkasakan kelangsungan hidup veteran.
"Kedua, adalah kita sedang menambah kakitangan melalui program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP)dan kita akan libatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga persatuan-persatuan veteran.
"Kita tahu bahawa antara cabaran kita adalah kita ada lebih 213,000 veteran dan kita memang tahu anggota JHEV itu terhad. Sebab itu memang kita merancang untuk memastikan tidak ada lagi gabungan (jawatankuasa) di setiap negeri, contohnya macam kita lihat antara Melaka-Negeri Sembilan dan Kelantan-Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta penjelasan berhubung perancangan kerajaan dalam usaha menambah keanggotaan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi membantu para veteran di kawasan pedalaman.
Dalam pada itu, Adly berkata, kerajaan turut memberikan bantuan dalam aspek kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan memperkasakan ekonomi veteran itu sendiri sama ada yang berpencen atau tidak mempunyai pencen.
"Kementerian Pertahanan melalui JHEV telah memperuntukkan sebanyak RM300 sebulan kepada anggota veteran sama ada berpencen atau tidak ada pencen. Setakat ini 18,786 orang dengan jumlah yang dibelanjakan adalah RM67.6 juta.
"Kita juga menyediakan sumbangan khairat kepada anggota dan tanggungan yang bernilai RM3,000 kepada veteran dan RM1,500 bagi keluarga. Setakat ini kita telah belanjakan RM455,000.
"Bagi aspek kesihatan, kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM103 juta bagi tujuan rawatan, ubat-ubatan serta alat-alat yang terkait dengan perubatan,” jelasnya.