KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan sedang menyiasat peningkatan permohonan permit memandu antarabangsa dalam kalangan warga Pakistan.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, peningkatan berkenaan dikesan bulan lepas di mana sebanyak 20 permohonan iaitu tiga kali ganda berbanding sebelumnya.
Lebih mencurigakan katanya, siasatan awal mendapati nama dan jawatan pegawai yang mempunyai autoriti meluluskan permohonan tidak sama seperti yang tertera di dokumen.
"Kami mengesyaki mungkin ada sindiket tetapi perkara itu masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen PDL Kepada Peserta MyLesen pada Rabu.
Tambah beliau, pihaknya tidak mahu membuat tuduhan kepada mana-mana pihak tetapi akan membuat laporan polis jika terdapat bukti kukuh.
"Kita bertindak lebih awal kerana tidak mahu perkara ini berleluasa selain mengelakkan penipuan dalam kalangan warga asing," katanya
Dalam pada itu, Misuari memaklumkan, sebanyak 196 kenderaan yang disita JPJ belum dituntut dan ada daripadanya dibeli oleh warga asing yang menggunakan nama penduduk tempatan.
Menurutnya, kenderaan berkenaan kebanyakannya milik etnik Rohingya dan penduduk tempatan yang bersekongkol dengan warga asing berisiko disenarai hitam.
"Ada juga yang sudah dikenakan denda oleh mahkamah iaitu RM2,000 membabitkan penduduk tempatan dan RM4,000 warga asing," katanya.