Kekosongan jawatan Menteri KPDN diisi jika ada calon sesuai - Anwar

Iklan
Anwar ketika berucap pada simposium The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia di Putranaya pada Rabu. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu berkata, kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan diisi sekiranya ada calon sesuai.

Kekosongan jawatan itu berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Julai lepas dan penggantinya masih menjadi tanda tanya selain turut menimbulkan desas-desus akan berlaku rombakan kabinet.

Iklan
Iklan

"Rombak kabinet? Kena rombak ke? Untuk mengisi kekosongan? Bila ada calon sesuai,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri simposium The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia di sini pada Rabu.

Mengenai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid daripada Perikatan Nasional (PN), diugut supaya menyokong kerajaan, Anwar mahu dakwaan disertakan dengan bukti.

Iklan

"Yang saya tahu saya belum jumpa (Iskandar Dzulkarnain), saya belum ada menghubunginya, saya tak hantar wakil, tak tahu siapa yang ugut.

"Kalau ada bukti dia kata, keluarkan jangan pakai main bedal saja,” kata beliau serta menambah bahawa tuduhan berkenaan adalah serius dan patut disiasat sepenuhnya.

Iklan

Sebelum ini, PN dilaporkan mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Ditanya mengenai sokongan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu terhadap kepimpinannya, Anwar berkata, beliau menghargai dan berterima kasih terhadapnya.

"Saya belum jumpa atau berhubung dengan beliau, tapi terima kasih di atas sokongan. Sama ada dia nak kekal dengan Perikatan Nasional adalah terpulang kepada dirinya,” kata beliau. - Bernama