PENGENDALI Tajikistan, Petar Segrt menyifatkan perlawanan akhir menentang Malaysia pada kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa hanya sebagai latihan untuk pasukannya menghadapi saingan Piala Asia di Qatar, pada Januari tahun depan.
Menurutnya, perlawanan itu adalah lebih penting daripada segala-galanya dan kemenangan di Pestabola Merdeka menjadi semangat kepada pasukannya mengharungi temasya terbesar Asia itu.
Malah, dia juga mengakui sukar untuk memilih pemain ke Piala Asia selepas pemain muda yang dibawa kali ini mampu menewaskan barisan pemain lebih berpengalaman dimiliki Harimau Malaya.
"Maaf saya katakan bahawa kejohanan ini hanya persiapan kami untuk menghadapi Piala Asia nanti.
"Ini kerana Piala Asia adalah lebih penting buat kami berbanding Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan pada Selasa.
Dalam perlawanan itu, skuad Singa Persia memenangi aksi tersebut menerusi jaringan Soirov Rustam pada minit ke-44 dan Samiev Shahrom pada minit ke-88.
Segrt berkata, skuad Singa Persia itu berhak memenangi perlawanan tersebut selain tidak percaya Harimau Malaya akan tewas kepada pasukan yang mempunyai purata pemain berusia 21 tahun.
"Tetapi, kami berhak menang perlawanan ini. Kami bermain tersusun dan berdisiplin sepanjang perlawanan. Ini kejayaan berpasukan dan bukan hasil seorang sahaja," katanya.
Sebelum ini, Segrt menjelaskan dia tidak dapat membawa 15 pemain utama dalam kejohanan ini selain purata pemain yang berada dalam pasukan adalah berumur 21 tahun.
Ia menjadi kejuaraan Pestabola Merdeka pertama buat Tajikistan dalam penampilan sulung mereka pada kejohanan ini.