ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan merancakkan sektor pelancongan Kedah, khususnya di tanah besar dalam usaha memperkenalkan keunikan Bandaraya Alor Setar pada tahun hadapan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara usaha yang dilakukan termasuk mengadakan kempen 'Mai Singgah Alor Setar 2024'.
Menurutnya, buat masa ini beberapa lokasi tumpuan pelancong sedang dinaik taraf bertepatan dengan kempen berkenaan, antaranya Muzium Padi, Balai Seni dan Muzium Diraja.
"Tahun depan kita ada program 'Mai Singgah Alor Setar' untuk perkenalkan bandar Alor Setar sebagai bandar raya bersejarah yang berusia 200 tahun,” katanya.
"Kesemua bangunan bersejarah sedang dinaik taraf, kita ada banyak lokasi bersejarah hanya dalam Alor Setar. Antaranya muara sungai berdekatan Masjid Zahir yang mana bermulanya penubuhan bandar ini,” katanya ketika hadir beramah mesra bersama peserta Wingers Camaraderie Ride (WCR) 2023 di Dataran Medan Bandar.
Sanusi berkata, selain Langkawi, tanah besar juga memiliki pelbagai tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi.
"Melancong sambil riadah atau melakukan aktiviti pemotoran juga sesuatu yang baik dan dapat mempromosi Kedah, seperti dilakukan peserta bermotosikal WCR yang membawa lebih 500 peserta dari Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Switzerland, Amerika Syarikat serta Arab Saudi,” ujarnya.
Menurutnya, konvoi tersebut turut mengunjungi tempat pelancongan di sekitar Alor Setar dalam mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancongan khususnya di tanah besar.
Sementara itu, Penasihat Wingers Camaraderie Ride, Datuk Syed Muhamad Zahri Syed Zainul Rashid berkata, Kedah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran konvoi selepas Phuket, Thailand pada tahun lepas.
"Langkawi sudah dikenali dunia, jadi Bandaraya Alor Setar dipilih untuk kita sama-sama promosikan tanah besar. Memandangkan masa terhad, program tiga hari dua malam ini hanya kunjungi tempat-tempat menarik sekitar bandar raya sahaja.
"Saya harap tahun depan peserta akan kembali ke Kedah untuk melancong ke seluruh tempat tumpuan pelancong termasuk di daerah lain,” jelasnya.
Menurutnya, bertepatan dengan kempen 'Mai Singgah Alor Setar', aktiviti ini merupakan promosi awal sebelum kesemua prasarana di lokasi tumpuan pelancong siap dinaik taraf.
"Insya-ALLAH kami akan bantu promosikan Kedah sebaik mungkin sempena tahun melawat Alor Setar tahun depan. Selepas semua prasarana pelancongan siap, memang kita berhasrat mempelawa peserta antarabangsa untuk sekali lagi kunjungi Kedah,” ujarnya.