Belanjawan 2024 tidak tekan perancangan terperinci - Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh kerajaan pada Jumaat sebagai tidak menekankan perancangan terperinci bagi mengatasi masalah bekalan dan keterjaminan makanan dalam negara.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kerajaan juga tidak memperuntukkan jumlah yang besar bagi memperkasakan daya pengeluaran makanan tempatan meskipun situasi bekalan dan keterjaminan negara disifatkan berada keadaan krisis.

Iklan
Iklan

"Ini telah pun kita bincang lama, malahan dikatakan status keselamatan makanan Singapura (berada pada tahap) antara yang terbaik di dunia. Malaysia berada di kedudukan antara 32 ke 33, ini satu perkara yang seharusnya perlu diberikan perhatian.

"Jadi sebab itu setiap tahun kita belanjakan sekitar RM60 bilion hingga RM70 bilion untuk membawa masuk bahan-bahan makanan. Kelapa pun kita import, sayur-sayuran, ikan, daging dan hampir sebahagian besar (diimport).

Iklan

"Sepatutnya belanjawan ini sedar situasi ketika ini (adalah) krisis. Kita lihat krisis beras, bekalan pengeluaran beras negara patut 70 peratus berbanding 30 peratus import. Yang terkini saya diberitahu, hanya sampai 60 peratus sahaja, dan kekurangan 10 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sesi membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi, ujar Muhyiddin, kerajaan telah mengurangkan lebih RM11 bilion, tetapi tidak menjelaskan secara terperinci mekanisme penyasaran subsidi tersebut.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan, bagaimana kerajaan hendak menentukan golongan pendapatan yang masih menikmati subsidi ekoran langkah rasionalisasi tersebut.

"Adakah kerajaan akan menggunakan kategori kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 sebagai asas penentuan atau terdapat formula baharu untuk menentukan siapa yang dapat dan siapa yang tidak dapat menikmati subsidi? Ini akan menimbulkan banyak persoalan dan ini akan dilaksanakan tahun depan.

"Penentuan ini penting kerana tekanan kos sara hidup dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira kelas pendapatan," jelasnya.