BESUT - Seorang gadis memohon bantuan orang ramai untuk mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pada majlis pernikahannya yang dijangka berlangsung bulan depan.
Nor Syafira Pauzi, 26, dari Kampung Kubang Ikan dekat sini berkata, dia terpisah dengan bapanya, Pauzi Mohd, 57 sejak 2002 ketika berusia lima tahun.
Iklan
Iklan
"Lebih rumit lagi sebab kami tiada walau sekeping pun gambar dia dalam simpanan. Saya harap mereka yang kenal ayah saya dapat sampaikan perkara ini kepada dia," katanya kepada Sinar Harian, di sini, pada Rabu.
Menurut Nor Syafira, sebelum ini dia sekeluarga pernah berusaha menjejaki bapanya itu sehingga ke Johor malangnya tidak berhasil.
"Saya harap kali ini bapa saya dapat pulang untuk hadir pada majlis perkahwinan saya dan menjadi wali saya," katanya.
Nor Syafira merancang untuk mendirikan perkahwinan bersama Suhaimi Husin, 38, di rumahnya di Kampung Kubang Ikan pada 10 November depan.
Justeru, mereka yang mempunyai maklumat boleh hubungi Nor Syafira di talian 011-61676472.