Permohonan sekat PetroSaudi guna dana dikait 1MDB 20 Februari

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Pendengaran permohonan kerajaan untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya, Tarek Obaid daripada menggunakan AS$340 juta dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK), bersambung di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Februari depan.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi memohon tarikh sambung pendengaran kerana pihaknya masih menunggu perkembangan terbaharu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes tersebut.

Iklan
Iklan



"Bagaimanapun pihak-pihak akur dengan keputusan mahkamah sekiranya dapat menetapkan satu tarikh lagi untuk pihak-pihak berhujah.

"Ini akan dapat membantu pihak pemohon (pendakwa raya) untuk menyelesaikan beberapa perkara yang mana terdapat saksi yang baru dirakam percakapannya dan mungkin boleh memberi kesan terhadap kes ini,” kata Ahmad Sazilee semasa prosiding pengurusan kes itu pada Rabu.

Iklan

Semasa ditanya Hakim Ahmad Shahrir, sama ada saksi itu telah selesai dirakam percakapannya, Ahmad Sazilee berkata:"(Rakaman percakapan saksi) masih berlangsung dan pihak kami masih menunggu perkembangan terbaharu daripada pihak penguat kuasa (SPRM) kerana kami tidak tahu apa rakaman percakapan tersebut”.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Tarek mencadangkan pendengaran terakhir bagi kes itu perlu ditetapkan memandangkan kes tersebut telah lama dan sekiranya terdapat sebarang permohonan ia perlu difailkan sebelum tarikh pendengaran.

Iklan

Peguam Alex Tan mewakili PSI, PSOS-VZ dan Temple Fiduciary Services Limited, yang merupakan responden kedua, ketiga dan kelima berkata beliau mengguna pakai hujahan Mohd Yusof.

Susulan itu Hakim Ahmad Shahrir menetapkan 20 Februari 2024 untuk pendengaran terakhir dan sebarang permohonan sekiranya ada perlu difailkan sebelum tarikh tersebut.

Pada 16 Julai 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang pihak terbabit daripada mengalihkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun eskrow yang dipegang oleh Clyde & Co.

Perintah itu adalah bagi mengekalkan status quo pihak terbabit sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah menghalang sebarang urusan membabitkan wang milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ yang kini berada dalam akaun tersebut.

Kerajaan Malaysia mendakwa wang terbabit berasal daripada dana 1MDB dalam satu usaha sama dengan PSI bagi menubuhkan 1MDB PetroSaudi Ltd pada 2010.

Permohonan itu, yang difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, menamakan Obaid, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary sebagai responden pertama hingga kelima. - Bernama