Pahang salur RM25,000 bantu bawa pulang jenazah Muhammad Izzat

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

KUANTAN - Kerajaan Pahang menghulurkan sumbangan RM25,000 kepada keluarga Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, yang meninggal dunia dalam tahanan imigresen di Tachileik, Myanmar pada 14 Oktober lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu bagi membantu membawa pulang jenazah Allahyarham Muhammad Izzat ke tanah air untuk dikebumikan di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan Pahang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menzahirkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa mangsa.

"Saya berharap keluarga bersabar atas dugaan berat yang dihadapi ini.

Iklan

"Sama-sama kita berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Wan Rosdy menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sekiranya menerima sebarang tawaran bekerja di luar negara.

Iklan

Allahyarham Muhammad Izzat dilaporkan menaiki penerbangan ke Bangkok pada 7 Oktober lalu sebelum diculik ke Myanmar melalui jalan darat pada 11 Oktober.

Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh wakil pertubuhan kemanusiaan namun disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan Imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukur, 27 tahun dan dua anak lelaki Muhammad Nu’man dan Muhammad Naqib Anaqi masing-masing berusia enam dan empat tahun.