Kastam Terengganu rampas lebih RM15 juta barangan seludup

Iklan
Mohd Nadzri (kanan) menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas pada sidang media mengenai rampasan rokok di Pejabat Kastam Kemaman pada Rabu. - Foto: Bernama

CHUKAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu mencatat jumlah rampasan sebanyak RM15.47 juta sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Nadzri Ariffin berkata, rampasan itu melibatkan pelbagai jenis barangan seludup termasuk rokok, beras, mercun, kenderaan dan minyak diesel dengan nilai cukai keseluruhan hampir RM1.5 juta.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, rampasan terbesar melibatkan 2.1 juta batang rokok seludup bernilai RM273,000 dengan anggaran cukai sebanyak RM1.4 juta di sebuah stesen minyak di daerah Yong Peng, Johor pada 29 September lepas.

Iklan

"Kejayaan berdasarkan hasil risikan dan maklumat daripada pelbagai sumber," katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Kemaman di sini pada Rabu.

Iklan

Mohd Nadzri berkata, pihaknya telah mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket penyeludupan rokok yang menukar operasi dari waktu awal pagi ke waktu puncak bagi mengelak daripada ditangkap.

Selain itu, sindiket terbabit juga menggunakan jalan persekutuan lama dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi tujuan pengedaran ke kawasan selatan tanah air.

Sehubungan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi keselamatan serta penguatkuasaan lain bagi memperhebat pemantauan di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti.

"Dia (penyeludup) dah tahu kita buat sekatan jalan raya pada waktu awal pagi. Jadi dia tukar modus operandi dengan buat pada waktu puncak untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Pada waktu puncak pelbagai jenis kenderaan ada... susah nak kesan," katanya. - Bernama