JKNK kompaun 53 premis kotor

Iklan
Ruang yang padat dan makanan tidak bertutup antara kesalahan yang dikesan dalam operasi JKNK.

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan kompaun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM12,200 membabitkan 53 premis di sekitar Kuala Krai pada Selasa.

JKNK melalui Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 10/2023 turut mengeluarkan notis yang memerintahkan pemilik premis dan pengendali makanan hadir ke mahkamah atas pelbagai kesalahan dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Iklan
Iklan

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pasukan operasi memeriksa 54 premis makanan di sekitar bandar, jalan utama dan premis tular di media sosial.

"Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mempamerkan perakuan pendaftaran di premis mereka, gagal mematuhi pemeriksaan perubatan dan kesihatan serta pemilik premis dan pengendali makanan tidak mematuhi peraturan pakaian yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, pemilik premis dan pengendali makanan yang tidak mematuhi elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan bagi memastikan mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan.

Dr Zaini turut menasihatkan orang ramai yang mahu menikmati makanan di luar agar memilih premis yang bersih.

Iklan

"Kami juga mahu memastikan tahap kebersihan premis sentiasa berada dalam keadaan memuaskan serta makanan yang disediakan selamat untuk dimakan," katanya.

Beliau berkata, operasi oleh Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan, JKNK melibatkan seramai 68 kakitangannya.

Jelasnya lagi, sebanyak 72 peratus premis dikategorikan sebagai premis bersih dan tiada penutupan premis dibawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.