PELAKON Hisyam Hamid menafikan khabar angin yang mendakwa dia dan isteri, Rosmawati Hanafi atau lebih dikenali dengan panggilan Mel, sudah bercerai.
Jelas Hisyam, 38, dia menyedari khabar angin itu sejak beberapa bulan lalu dan kerap diaju dengan soalan sama oleh orang sekeliling.
Bagaimanapun, hubungannya dengan isteri masih baik, cuma jarang berkongsi foto romantis di media sosial.
"Tiap-tiap bulan mesti ada yang tanya apakah benar saya sudah bercerai. Sebenarnya saya masih lagi suami orang, cuma saya kurang sikit berkongsi hal berkaitan peribadi di media sosial, termasuk mengenai anak-anak," ujarnya.
Hisyam menjawab persoalan itu ketika ditemui pada acara media junket siri terbaharu lakonannya, That Cover Girl di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambah Hisyam, dia lebih selesa jika berkongsi sesuatu yang bersebab dan tidak menjadikan kehidupan peribadi sebagai kandungan utama di media sosial.
"Lagipun klien nak lihat reach media sosial sebelum bagi job. Jadi biarlah berkaitan dan bersebab sahaja yang saya kongsikan," jelasnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Hisyam bergandingan dengan Siti Saleha, Aiman Hakim Ridza dan Alicia Amin dalam siri That Cover Girl arahan Abid Hussain yang bakal ditayangkan menerusi Prime Video Malaysia bermula 19 Oktober ini.