ISKANDAR PUTERI - Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) melibatkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bakal menggunakan kenderaan elektrik (EV) mulai awal tahun hadapan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, langkah berkenaan bertepatan dengan inisiatif teknologi hijau yang ditekankan dalam agenda Maju Johor.
"Kita akan mulakan dengan tiga bandar raya tahun depan diikuti oleh PBT, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian dan seterusnya di peringkat majlis daerah yang dari segi hasil agak kurang namun kita akan tengok untuk fasa yang seterusnya.
"Bagaimanapun, perkara tersebut juga bergantung kepada kekangan bajet, macam hari ini bajet diputuskan tahun lepas, tahun depan diputuskan tahun ini. Sebab itu kebanyakan PBT gunakan kaedah sewa beli, sewa bayar secara bulanan dan kalau ada kerosakan, penyelenggaraan di peringkat Sime Darby.
"Sebenarnya bentuk sewa ini bagus kerana apa sahaja kerosakan akan ditanggung oleh pihak pembekal di peringkat awal dan mungkin di masa akan datang, di peringkat PBT itu sendiri dah pandai selenggara...barulah putuskan untuk pembelian,” katanya.
Mohd Jafni berkata demikian pada sidang media sempena majlis penyerahan EV kepada MBIP pada Rabu.
Hadir sama, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Hafiz Ahmad.
Pada majlis berkenaan, sebanyak empat kereta EV diserahkan kepada MBIP melibatkan dua kenderaan bagi penguat kuasa manakala dua lagi untuk kegunaan jabatan.
Sementara itu menurut Mohd Hafiz, kesemua kenderaan berkenaan disewa untuk tempoh setahun.
"Kita mula dengan empat kenderaan, dua kenderaan untuk kegunaan jabatan dan dua lagi untuk pihak penguat kuasa lakukan rondaan.
"Sewanya selama setahun dan kita akan renew (perbaharui), nanti untuk kesemua kenderaan ini,” katanya.