KUALA LUMPUR - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Rabu mengesahkan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menafikan khabar angin kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding sebagai calon pada PRK Parlimen Kemaman.
Iklan
Iklan
"Kita tidak letak calon. Kami kini fokus untuk memperkukuh parti. Kita hendak bina kekuatan bagi menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16),” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Mukhriz berkata, Pejuang akan menganjurkan perarakan dari Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak ke Kedutaan Amerika Syarikat pada 2 petang, Jumaat ini sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Palestin dan tindakan biadab Isreal di Gaza. - Bernama
Artikel Berkaitan