SUNGAI PETANI - Exco Pengangkutan Kedah, Azman Nasrudin mengakui tidak selesa ketika menggunakan KTM Komuter kerana terlalu padat dengan penumpang.
Azman meluangkan masa menggunakan KTM dari Gurun ke Sungai Petani yang mengambil masa hanya 15 minit, petang tadi.
Menurutnya, jadual kekerapan perjalanan selain tambang yang murah iaitu RM2.50 untuk perjalanan sehala menyebabkan ia menjadi pilihan penduduk di utara.
"Saya sudah banyak terima aduan daripada pengguna mengenai kesesakan terutama pada hari bekerja dan musim cuti sekolah," katanya.
Beliau berkata, pada 2018 beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan dan mencadangkan agar menambah gerabak bagi mengatasi masalah tersebut.
"Kita faham mungkin belum ada peruntukan bajet jadi saya sendiri akan segera buat pertemuan dengan kementerian untuk mencari penyelesaian, surat pun sudah hantar supaya kementerian boleh lihat perkara ini secara serius," katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau juga ada membuat teguran terhadap pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) apabila tidak membuat semakan tiket terhadap penumpang sebelum turun dari komuter.
"Kita bimbang ada penumpang tidak jujur telah mengambil kesempatan menggunakan pengangkutan ini untuk jarak lebih panjang berbanding tiket yang ditempah berikutan tiada pemeriksaan kedua sebelum penumpang turun yang boleh mengakibatkan kerugian kepada KTMB," katanya.