'Jangan jadi pengecut, takut buat keputusan' - Ketua Polis KL

Iklan
Allaudeen (kanan) beramah mesra bersama beberapa pegawai kanan polis ketika Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

KUALA LUMPUR -"Tak boleh jadi penakut atau kecut jika buat sebarang keputusan, ia mesti diambil atas dasar tanggungjawab serta amanah yang digalas."

Demikian pesanan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid kepada kira-kira 100 pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Tegas beliau, pangkat yang diterima bukan menandakan satu fasa pengakhiran perkhidmatan sebaliknya ia satu permulaan kepada kerjaya.

"Keris bersilang, paku atau bintang ini bukan sekadar pangkat semata-mata, ia datang dengan amanah berat yang perlu dijalankan sebaiknya.

Iklan

"Jangan sesekali takut atau jadi pengecut dalam buat keputusan, ingatlah bahawa keputusan yang diputuskan bukan berdasarkan populariti semata-mata namun berdasarkan atas segala pertimbangan yang diambil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.

Iklan
Allaudeen (kanan) memakaikan pangkat kepada salah seorang pegawai polis ketika Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

Kata Allaudeen, tugas sebagai pegawai atau anggota polis diibaratkan seperti dalam dinding kaca yang mana segala tingkah laku atau tindakan sentiasa diperhatikan orang awam.

"Kita bertindak dalam laksanakan tanggungjawab ini berdasarkan peraturan dan peruntukan undang-undang, jangan sesekali ada rasa gentar biarpun cabaran luar biasa yang perlu ditempuhi ketika ini," kata beliau.

Menurutnya, amanah yang diberikan sebagai ketua atau berjawatan perlu sentiasa memberikan galakan kepada anggota bawahan.

"Soal pangkat ini sesuatu yang disifatkan sebagai rezeki, ada yang cepat dan ada yang lambat nak naik, itu semua lumrah.

"Bagi ketua jagalah sebaiknya anak buah, prihatin kepada mereka, iktiraf dan hargai kejayaan mereka supaya dengan itu dapat disuntik semangat supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Terdahulu, seramai 44 pegawai kanan IPK Kuala Lumpur dinaikkan pangkat melibatkan 22 pegawai berpangkat Inspektor dinaikkan kepada Asisten Superintenden manakala 12 pegawai berpangkat Asisten Superintenden dinaikkan kepada Deputi Superintenden.