Lebih 11,000 tiket aksi Perak FC menentang JDT laris dijual

Iklan
Penyokong Perak FC hadir membeli tiket perlawanan aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 di antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika tinjauan foto Bernama di Stadium Perak pada Rabu.

BAHANG kehangatan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara pasukan Perak FC dan JDT semakin terasa, apabila lebih 11,000 tiket telah terjual setakat jam 6.30 petang ini sejak jualan dibuka dua hari lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, sambutan jualan tiket secara dalam talian menerusi laman sesawang https://www.tickethotline.com.my, amat memberangsangkan dengan 7,140 tiket terjual setakat ini, manakala selebihnya secara fizikal dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Iklan
Iklan

"Kita percaya perlawanan menentang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) akan meriah dengan kebanjiran penyokong, bagi memberikan sokongan serta menyemarakkan lagi aksi tersebut.

"Jadi kita meminta penyokong yang mahu membeli tiket secara fizikal di stadium, untuk segera berbuat demikian bagi mengelakkan mereka beratur panjang,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Iklan

Bobie Farid berkata, pihaknya juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pembelian tiket dari jam 6 petang hari ini kepada 9 malam, selepas mendapat permintaan daripada penyokong.

Beliau turut menyasarkan 25,000 tiket akan terjual kepada penyokong kedua-dua pasukan, sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Bagi pasukan pelawat pula, mereka diperuntukkan 1,000 tiket dan perlu dibeli secara dalam talian sahaja, serta tiada penjualan secara fizikal buat penyokong pelawat di stadium.

Iklan

Sementara itu, Bobie Farid berkata, meskipun Perak FC dianggap pasukan underdog, namun beliau menjangkakan kedua-dua pasukan akan menampilkan aksi sengit, dengan Skuad The Bos Gaurus akan berjuang habis-habisan untuk mencipta kejutan menewaskan JDT.

Selepas perlawanan esok, pasukan itu dijadual berhadapan perlawanan timbal balik dengan pasukan Harimau Selatan pada 2 November depan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - Bernama