KUALA LUMPUR - Isu subsidi bersasar dan kos sara hidup antara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pada hari ketiga perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dalam perbahasannya berkata, pemberian subsidi secara berterusan oleh kerajaan tidak akan dapat menyelesaikan masalah ekonomi rakyat.
"Subsidi ini sebenarnya di negara luar hanya bersifat sementara untuk menunggu rancangan yang ada untuk direalisasikan. Apabila rancangan itu telah dapat ditemui, maka subsidi itu ditiadakan.
Selain itu, beliau berkata, isu peningkatan kos sara hidup bukan hanya di Malaysia sebaliknya seluruh dunia berhadapan isu tersebut yang didorong pelbagai faktor seperti ekonomi dan peperangan.
"Faktor utama mendorong ekonomi dunia merudum ialah pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia termasuk negara kita. Justeru, untuk pemulihan memang sukar tetapi perlu ada mekanisme tertentu,” katanya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) dalam perbahasannya pula mencadangkan supaya kerajaan meneliti dan melaksanakan kajian menyeluruh untuk mengenal pasti implikasi berhubung cadangan melaksanakan subsidi bersasar.
Muhyiddin meminta kerajaan menjelaskan mekanisme yang akan digunakan untuk merasionalisasikan subsidi seperti petrol serta kaedah pelaksanaannya sama ada menerusi kategori kumpulan pendapatan atau menggunakan format baharu memandangkan kos sara hidup dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira kelas pendapatan.
"Misalnya, kumpulan isi rumah M40 yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, mereka juga akan menanggung beban kos sara hidup yang mungkin sama ditanggung oleh B40. Apa akan jadi sekiranya kerajaan memutuskan bahawa kumpulan ini tidak lagi layak menikmati subsidi petrol,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, harga barangan dan perkhidmatan juga akan meningkat sekiranya pengusaha dalam industri pengangkutan dan logistik tidak lagi menikmati subsidi bahan api.
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pula menyambut baik tumpuan kerajaan untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan mencecah hingga RM44 bilion tahun hadapan.
Bagi memastikan pelan PMKS berkesan, beliau mencadangkan supaya kerajaan fokus kepada usaha memperkasakan industri halal di negara ini.
"Malaysia mempunyai reputasi sebagai pemain utama dalam industri makanan dan minuman halal, dengan fokus yang lebih mendalam kepada industri halal, kita boleh terus memperkukuh kedudukan sebagai destinasi utama produk halal di peringkat global.
"Ini tidak hanya akan memberikan dorongan kepada ekonomi negara, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan serta pembiayaan untuk industri PMKS yang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) pula mencadangkan agar kerajaan menilai semula pemberian geran kepada usahawan yang didapati 'gulung tikar' bagi merancakkan bidang perniagaan dalam negara.
Beliau berkata perkara itu juga adalah amat penting, mengambil kira perkembangan terkini yang menyaksikan sebilangan usahawan terpaksa menghentikan perniagaan akibat tidak mampu menanggung kos operasi yang meningkat secara mendadak.
Persidangan bersambung esok.- Bernama