SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa kepimpinan parti untuk lebih serius memberi ruang kepada tenaga muda untuk tampil sebagai calon wakil rakyat.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya agak terkilan apabila penyertaan calon-calon muda pada pilihan raya kecil di enam buah negeri sangat minimum.
"Jika dibincang dari konteks ketua pemuda negeri, hanya satu ketua pemuda Pas negeri bertanding di kerusi Kota Anggerik, Selangor.
"Lima lagi negeri tidak membariskan ketua pemuda negeri atas pelbagai sebab dan faktor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini pada Rabu.
Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ahmad Fadhli menegaskan, Pemuda Pas bukan semata-mata mahu menjadi calon pilihan raya.
"Bukanlah pemuda memburu kerusi untuk menjadi calon, namun apakah persepsi yang ingin dibentuk dan hidangkan kepada anak muda di luar, jika parti kita sedikit bermasalah untuk memberikan ruang kepada muka baru berpencak silat di barisan hadapan.
"Justeru, di dalam mengisi kemenangan di negeri-negeri yang ditadbir, pemuda menggesa agar ruang-ruang dalam kerajaan diperbanyakkan tenaga pelapis muda dengan perbincangan bersama Pemuda Pas negeri-negeri agar tenaga yang bertungkus lumus di peringkat parti turut sama didedahkan dalam agenda berkerajaan," katanya.