Agong dimasyhurkan Penaung Utama Persekutuan Pengakap Negara

Iklan
Yang di-Pertuan Agong (tengah) berkenan dimasyhurkan sebagai Penaung Utama Persekutuan Pengakap Negara. - Foto Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan dimasyhurkan sebagai Penaung Utama Persekutuan Pengakap Negara.

Menerusi hantaran di Instagram Istana Negara, pemasyhuran itu diadakan ketika Seri Paduka menerima menghadap pemangku Ketua Pengakap Negara Mej Jeneral (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin, di Istana Negara pada Rabu.

Iklan
Iklan

Pada majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima persembahan Bintang Semangat Padi Emas iaitu anugerah tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia yang hanya disampaikan kepada tokoh-tokoh terbilang sahaja.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara (MPN) Datuk Ahmad Shazily Ismail Bakti, Bendahari Kehormat MPN Tan Sri Abdullah Taib, Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli MPN Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Nasaruddin Shamsuddin. - Bernama

Iklan
Iklan