Siri Gerbang Puaka terbitkan tiga buku baharu

Iklan
Firdaus bersama buku terbitan Siri Gerbang Puaka.

SHAH ALAM - Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd menerbitkan tiga lagi novel dalam Siri Gerbang Puaka kerana permintaan yang tinggi daripada pembeli.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, novel dalam siri itu ketika ini berjumlah 13 naskhah dan pihaknya mengalu-alukan penulis baharu yang hendak menghantar manuskrip.

Iklan
Iklan

"Penulisan Siri Gerbang Puaka ini ringkas, jadi penulis baharu boleh mula cuba menulis kerana bilangan muka suratnya tidak melebihi 200,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf pada Selasa.

Sementara itu, Editor Kanan Unit Novel Grup Karangkraf, Mazuen Yahaya berkata, kumpulan sasaran yang diutamakan dalam penerbitan edisi tersebut ialah remaja berusia 13 hingga 20 tahun bagi menggalakkan mereka membaca.

Iklan
Mazuen

Jelas Mazuen, penggunaan bahasa yang ringkas dan padat juga memudahkan pemahaman jalan cerita seram yang hendak disampaikan kepada para pembaca walaupun daripada golongan dewasa.

"Jalan cerita lebih cepat, setiap konflik yang berlaku diselesaikan dengan mudah. Jadi mereka (pembaca) tidak akan cepat bosan, lagipun penceritaannya tidak meleret-leret.

Iklan

"Penulis novel edisi ini juga berpengalaman. Setiap babak diolah mengikut standard pemikiran remaja,” ulasnya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Unit Novel Grup Buku Karangkraf, Shahida Md Khasim, jika penerbitan Edisi Gerbang Puaka mendapat sambutan yang luar jangkaan, novel-novel akan ditambah lagi mengikut keperluan pasaran.

Shahida

Tambah Shahida, sebelum ini, 10 naskhah terdahulu diterbitkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada bulan Mei.

"Memandangkan sambutan diterima amat menggalakkan, jadi terdapat permintaan daripada kedai-kedai buku untuk menjual edisi ini.

"Kelebihan novel-novel ini adalah sebab ia nipis dan senang untuk dibawa ke mana-mana. Lagipun harga sebuah novel hanya RM14,” jelasnya.