'Misi' agih air secara percuma

Iklan
Jameel bersama keldainya, Almond mengagihkan bekalan air minuman kepada penduduk di kawasan kejiranan mereka.

JAMEEL al-Karoubi cuba membiasakan dirinya dengan rutin harian baharu sejak lebih seminggu lalu.

Pada setiap hari, dia akan bangkit daripada tidur lebih awal dan menyelesaikan segala urusan keluarganya sebelum meneruskan 'misi' bersama keldai peliharaannya.

Iklan
Iklan

Jameel secara sukarela menggalas tanggungjawab untuk mengagihkan air minuman kepada penduduk di kawasan kejiranan di Khan Yunis, selatan Genting Gaza.

"Saya membuat 'janji' ini bersama Almond. Saya akan memberikannya makanan tambahan pada setiap hari jika ia 'membantu' saya melakukan misi ini. Sejak itu, haiwan tersebut tidak pernah gagal melaksanakan perkara tersebut," katanya.

Iklan

Sebelum konflik terbaharu Hamas-rejim Zionis itu tercetus, lelaki berusia 34 tahun itu biasanya menjual sayur-sayuran menggunakan kereta sorong yang ditarik Almond.

Kini, dia bersama keldai tersebut cuba meringankan beban penduduk Gaza yang berdepan kepungan haram secara menyeluruh.

Iklan

Jameel membawa dua tangki besar sambil memanggil jiran-jirannya supaya membawa bekas kosong untuk diisi.

Bapa kepada empat anak itu menjelaskan perigi milik keluarganya dapat menampung bekalan air minuman diperlukan penduduk di kawasan kejiranan tersebut.

Jameel enggan menerima sebarang bayaran walaupun dia sebenarnya boleh menggunakan wang tersebut untuk menanggung keluarganya.

Bapa kepada empat anak itu membawa dua tangki besar pada setiap hari.

"Saya tidak menjual air tersebut dan hanya memberikan kepada komuniti di sini secara percuma.

"Jika saya tidak membantu saudara saya sendiri. Siapa lagi yang boleh hulur bantuan? Mahu harapkan Israel? Semestinya tidak," katanya yang merujuk kepada penduduk Palestin yang sudah dianggap seperti satu keluarga.

Usaha murni

Salah seorang jiran Jameel menyatakan air adalah keperluan sangat penting kepada mereka.

"Kami boleh hidup tanpa internet atau bekalan elektrik. Tetapi, bukan tanpa air. Saya tidak tahu bagaimana dengan nasib kami jika Jameel tidak membantu," katanya.

Menurutnya, penduduk sekitar cuba untuk mendapatkan bekalan air di agensi bantuan, namun kemudahan itu amat sesak dan air yang disediakan juga kurang bersih.

Jameel kini mempunyai satu matlamat baharu iaitu untuk membantu komuniti di luar kawasannya.

"Ia mungkin agak mustahil untuk membawa kereta sorong ini melalui jalan raya yang sudah musnah dibedil rejim Zionis," ujarnya.

Keluarganya amat menyokong usaha Jameel membantu penduduk Gaza walaupun mereka bimbang dengan keselamatannya.

Beberapa kanak-kanak Palestin cuba mencari sumber untuk mendapatkan bekalan air.

"Bapa saya berasa ia sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya. Dia sangat gembira apabila jiran kami dapat tidur dengan lena setelah dapat menghilangkan dahaga dengan air yang diagih olehnya," jelas anak bongsunya, Osama.

Jameel memberitahu dia sentiasa berdepan cabaran berbahaya kerana kempen pengeboman masih berterusan di seluruh Genting Gaza.

"Ancaman serangan Israel itu tidak akan menghentikan usaha murni saya," tambahnya yang tidak mengharapkan sebarang balasan daripada jiran-jirannya.

Jameel turut mengedarkan sayur-sayuran hasil tanamannya seperti kentang kepada komuniti sekitar.

"Saya tidak kisah berkongsi rezeki dengan mereka jika terdapat hasil yang banyak daripada hari biasa. Ia membuatkan saya dan semua orang gembira," ujarnya.

'Jasa' Almond turut dibalas jiran tetangga Jameel.

Mereka sentiasa menawarkan bekalan makanan buat haiwan tersebut.

"Saya tidak tahu bila peperangan ini akan berakhir. Apa yang pasti jiran-jiran saya akan dahaga selama tempoh kepungan haram ini berterusan.

"Saya akan cuba membantu mereka selagi tubuh berkemampuan," menurutnya lagi. - Agensi