PERSEORANGAN badminton utama, negara Lee Zii Jia menepati ramalan selepas mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark 2023 di Odense, pada Rabu.
Perseorangan nombor 11 dunia itu mengetepikan pemain Belgium Julien Carraggi, 19-21, 21-15, 21-10, dalam pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Jyske Bank Arena.
Cabaran lebih getir menanti juara Terbuka Artik itu apabila dijadualkan bertemu pemain pilihan tempatan, Viktor Axelsen pada pusingan seterusnya.
Axelsen yang juga perseorangan nombor satu dunia menempah tempat di pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara Magnus Johannesen, 21-7, 21-9.
Sementara itu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut berjaya ke pusingan kedua selepas mengambil masa 42 minit untuk menundukkan pasangan tuan rumah Mathias Thyrri-Amalie Magelund, 21-15, 23-21.
Pilihan kelima kejohanan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai menanti mereka di perlawanan seterusnya, selepas pasangan Thailand itu menyingkirkan Marcus Ellis-Lauren Smith dari England, 17-21, 21-15, 21-19.
Dalam pada itu, perseorangan wanita Goh Jin Wei dan beregu wanita Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing menamatkan saingan selepas dikalahkan lawan masing-masing.
Jin Wei tumpas pada pilihan kelima He Bing Jiao dari China, 11-21, 10-21, manakala Anna-Mei Xing kecundang pada pilihan keenam Zhang Shu Xian-Zheng Yu, juga dari China, 18-21, 14-21. - Bernama