KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia akan menggunakan segala usaha diplomatik dalam bekerjasama dengan rakan negara ini bagi menghalang pembunuhan beramai-ramai orang awam di Gaza dan tidak seharusnya ada keraguan terhadap komitmen negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-undang ASEAN (ALA) ke-14 2023 di sini hari ini, Anwar berkata, Malaysia percaya dalam menegakkan undang-undang antarabangsa serta keselamatan dan kemakmuran adalah berdasarkan keutamaan peraturan yang mengawal interaksi antara negara.
"Segalanya ada kaitan dengan undang-undang kerana itulah yang sepatutnya kita semua pertahankan pada saat bahaya besar ini dan itu sepatutnya begitu terutamanya bagi negara-negara di dunia yang sentiasa pantas mendakwa bahawa mereka menyokong peraturan berdasarkan perintah antarabangsa.
"Tetapi ia juga tidak ada kena mengena dengan undang-undang kerana negara-negara yang sama ini cepat menangguhkan perbincangan sebegitu apabila ia melibatkan Israel, pendudukan kejamnya terhadap rakyat Palestin dan sikap tidak menghiraukan peraturan berdasarkan perintah antarabangsa,” kata beliau.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Menyentuh mengenai inisiatif ASEAN, Anwar berkata, negara-negara ASEAN mesti memperjuangkan dasar yang menggalakkan dan menegakkan kesaksamaan gender merentasi pelbagai bidang termasuk pendidikan, pekerjaan dan kepimpinan.
Justeru, beliau berkata, ASEAN perlu memberi ruang dan perhatian kepada sumbangan wanita, mengiktiraf potensi mereka dan memberi mereka peluang sama rata untuk memimpin dan berinovasi.
Perdana Menteri turut memuji inisiatif selaras dengan Pelan Hala Tuju ASEAN mengenai Penghapusan Bentuk Terburuk Buruh Kanak-Kanak menjelang 2025, rangka kerja kerjasama seluruh rantau yang melengkapkan komitmen dan tindakan menentang buruh kanak-kanak di peringkat global.
"Walaupun pelaksanaan larangan protokol pilihan terhadap pornografi kanak-kanak berbeza antara bidang kuasa, komitmen untuk memeranginya terbukti melalui undang-undang domestik yang melarang jenayah kejam ini,” kata beliau.
Undang-undang seharusnya seiring dengan kewajipan moral untuk memastikan ibu bapa menghormati dan menunaikan amanah yang dibebankan kepada mereka untuk kesejahteraan anak-anak mereka, kata beliau. - Bernama