Sistem AP perlu dikekalkan untuk sokong industri tempatan

Iklan
Tengku Zafrul - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sistem permit import (AP) terhadap kenderaan bermotor perlu dikekalkan bagi memastikan keutamaan diberikan kepada industri tempatan dan pembangunan industri automotif yang inklusif seiring aspirasi Dasar Automotif Nasional 2020.

Ia juga bagi mengekang lambakan kenderaan import sepenuhnya (CBU) termasuk kenderaan elektrik (EV) yang tidak mematuhi piawaian keselamatan dan berbahaya kepada pengguna jalan raya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Iklan
Iklan

Justeru, langkah mengenakan AP ke atas CBU masih relevan dan perlu dikekalkan berdasarkan justifikasi tambahan, katanya sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) berhubung langkah kerajaan untuk tidak memansuhkan sistem AP, mengecualikan cukai termasuk duti eksais dan import terhadap semua jenis EV termasuk kenderaan komersial dan motosikal.

Iklan

Tengku Zafrul berkata, sistem AP merupakan satu mekanisme pengumpulan data dan maklumat bagi tujuan pengawalseliaan, penambahbaikan dasar dan garis panduan semasa bagi pembangunan sektor automotif di Malaysia.

Pada masa, ia juga memastikan syarat kenderaan kenderaan CBU baharu atau terpakai mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan MITI.

Iklan

Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023, pengecualian duti import dan duti eksais disediakan oleh kerajaan adalah terpakai kepada semua jenis EV termasuk komersial dan motosikal.

EV yang diimport dalam bentuk CBU, insentif ini terpakai sehingga 2025 dan bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) jenis EV pula ia adalah sehingga tahun 2027.

Selain itu, pengecualian cukai jualan sepenuhnya diberikan kepada EV CKD sehingga 2027.

Bilangan EV berdaftar di Malaysia sejak 2011 sehingga September 2023 secara khususnya jenis kenderaan elektrik bateri (BEV) termasuk semua jenis kenderaan komersial dan motosikal mencecah 12,000 unit.

EV berdaftar berjumlah 3,000 unit pada 2022 dan 7,500 unit sehingga September 2023 berbanding purata 300 unit bagi tahun-tahun sebelumnya. - Bernama