Pesara KPDNHEP antara ditahan menyamar penguat kuasa

Iklan
PDRM

LUMUT - Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pesara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai penguat kuasa dan melakukan serbuan di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata pemeriksaan mendapati pesara berumur 58 tahun itu memakai ‘vest’ KPDNHEP dipercayai miliknya sendiri dan digunakan untuk memperdaya mangsa.

Iklan
Iklan

Katanya, suspek bersama dua lagi rakan masing-masing berumur 55 tahun dan 38 tahun menaiki kereta jenis Proton Iswara sebelum ditahan pihak polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah pasaraya di Sitiawan kira-kira pukul 2.15 petang, hari yang sama.

"Soal siasat mendapati mereka baru selesai menyamar sebagai pegawai KPDNHEP dengan membuat serbuan di sebuah kedai runcit.

Iklan

"Kita turut menemui 29 kotak dipercayai rokok seludup bernilai lebih RM200 dipercayai hasil serbuan di kedai tersebut dan hasil siasatan mendapati rokok tersebut adalah untuk kegunaan mereka sendiri dan bukan untuk dijual,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, hari ini.

Muhammad Hanif berkata pihaknya turut merampas sehelai jaket, sehelai baju lengan panjang berlambang kementerian, tali pinggang, sepasang gari dan sebatang kayu cota dipercayai milik pesara itu yang bersara sejak dua tahun lalu.

Iklan

"Mereka juga mengaku melakukan tiga kes di beberapa lokasi di daerah Manjung menggunakan modus operandi sama sejak Oktober lalu,” katanya.

Beliau berkata reman empat hari kesemua mereka yang berakhir hari ini, dilanjutkan tiga hari lagi.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berumur 39 tahun ditahan selepas menyamar sebagai anggota polis dan melakukan peras ugut ke atas empat warga Indonesia dalam kejadian di atas jejantas berhadapan sebuah pasaraya di Sitiawan di sini, Sabtu lalu.

Muhammad Hanif berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu, suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis meminta kesemua mangsa untuk menunjukkan permit kerja dan mengugut untuk membawa mereka ke balai polis.

"Suspek meminta wang sebanyak RM1,000 daripada mangsa, namun mangsa yang takut memberikan suspek RM40 sebelum suspek melarikan diri namun berjaya ditahan polis 15 minit kemudian," katanya sambil menambah suspek direman selama lima hari bermula Sabtu lalu.

Kedua-dua kes penyamaran tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam. - Bernama