KUALA LUMPUR - Selangor mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan Israel susulan serangan terhadap Palestin khususnya di hospital, tempat ibadah dan rumah penduduk.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor bersimpati dengan rakyat Palestin dan akan bersolidariti terhadap semua pihak yang memperjuangkan keadilan dan keamanan.
"Bagi pihak rakyat Selangor, kami mengutuk sepenuhnya tindakan keganasan ini. Ia merupakan serangan tidak bertanggungjawab terhadap berjuta rakyat Palestin yang tidak berdaya termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua.
Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
SIBS yang membuka tirai pada Khamis akan berlangsung selama empat hari hingga Ahad menghimpunkan penyertaan 1,050 reruai dengan sasaran potensi nilai jualan RM1.5 bilion.
Dalam pada itu, setakat Rabu, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan udara Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 2,808 orang.
Sekurang-kurangnya 10,859 rakyat Palestin cedera dalam pengeboman Israel di kawasan pinggir laut, Gaza.