24 jam terkandas di tengah laut

Iklan
Ahmad Zulhisham (kiri) bersama adiknya ketika diselamatkan selepas bot dinaiki mengalami kerosakan.

KEMAMAN - Dua nelayan dari Kampung Paya Berenjut di sini berkongsi detik cemas terperangkap di tengah laut hampir 24 jam apabila enjin bot dinaiki mereka mengalami kerosakan Khamis lalu.

Mangsa, Ahmad Zulhisham Mohamed, 43, berkata, dia turun ke laut jam 5 pagi bersama adiknya, Ahmad Tarmizi Mohamed, 39.

Iklan
Iklan

Katanya, enjin bot dinaiki mereka rosak pada jam 6 pagi dan gagal dibaiki.

"Waktu tu kami cuba baiki sendiri enjin bot malangnya gagal. Enjin bot tidak berjaya dihidupkan.

Iklan

"Dalam tengah hari isteri saya ada telefon, walaupun bateri hanya tinggal dua peratus saya sempat beritahu enjin bot rosak dan sedang cuba baiki sendiri.

"Mujurlah saya sempat bercakap dengan isteri saya dan beritahu dia apa yang terjadi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Ahmad Zulhisham berkata, mereka berdua tidak membawa bekalan makanan kerana tidak menyangka sama sekali ditimpa kejadian sebegitu.

Menurutnya, mereka juga tidak pernah berdepan pengalaman seperti itu sebelum ini.

"Lebih mencemaskan ketika enjin bot sedang dibaiki ombak kuat menolak bot ke tengah laut. Masa tu hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan kami berdua," katanya.

Keadaan bot dinaiki Ahmad Zulhisham dan Ahmad Tarmizi ketika ditemui di tengah laut.

Ahmad Zulhisham berkata, ketika berada di laut, dia ada ternampak sebuah bot dari jarak jauh dan cuba melambai malangnya tidak disedari.

"Kami cuba juga lambai beberapa bot yang berada pada jarak jauh, namun mereka tidak nampak.

"Mujurlah jam 4.30 pagi keesokan harinya, ada sebuah bot sampai ke lokasi kami. Syukur sangat sebab ada yang berjaya menjejaki dan dapat menyelamatkan kami," katanya.

Walaupun masih trauma dengan kejadian menimpa, dia tidak serik untuk turun ke laut.

"Trauma dan takut memang ada tapi saya tak akan serik untuk turun ke laut sebab itu adalah punca pendapatan utama," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, dia menerima berita kejadian menimpa dua nelayan itu jam 11 malam sebelum meminta sebuah bot diketuai Dzulkifli Mohd Nor bersama empat kru untuk membantu mangsa.

"Alhamdulillah bot itu berjaya ditemui dan selamat tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemaman jam 6 pagi, Jumaat lalu," katanya.