SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) berjaya meraih kutipan sebanyak RM81 juta bagi memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kutipan tabung tersebut akan disalur untuk tujuan perubatan, makanan, minuman dan kemudahan asas kepada rakyat Palestin.
"Sayugia, kutipan besar dalam tempoh masa singkat itu menunjukkan soladiriti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin, dan sekalung penghargaan diucapkan kepada syarikat berkaitan kerajaan, swasta dan syarikat bukan Islam.
"Pastinya, tabung ini akan disalur terus untuk perubatan, makanan, minuman serta kemudahan asas untuk rakyat Palestin yang terjejas ketika ini.
"Saya singgung hasrat tersebut pada majlis penyampaian sumbangan tabung AAKRP seraya diapit Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali,” katanya dalam siaran di akaun Facebook rasmi beliau pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar turut menegur supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan atas tragedi yang berlaku di bumi Palestin itu.
"Di sebalik hasrat murni mengutip derma bagi rakyat Palestin, hubaya dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri masing-masing.
"Seharusnya, mereka perlu lebih telus dan lebih bertanggungjawab dalam penyaluran tabung kemanusiaan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah, pihaknya turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada dana AAKRP bagi menyatakan sokongan dan tanda solidariti terhadap perjuangan warga Palestin.
Ulasnya, meskipun sumbangan itu tidak banyak, namun menjadi tanggungjawab pihak badan korporat untuk memberi bantuan kepada pemulihan rakyat Palestin yang terkesan akibat tragedi bom baru-baru ini.
"Sumbangan ini adalah atas dasar-dasar keprihatinan kita terhadap rakyat Palestin sebab apabila melihat insiden pengeboman hospital di Gaza pada Selasa, jadi terasa tanggungjawab kita sebagai badan korporat untuk memberikan sumbangan ini.
"Mungkin sumbangan itu tidak banyak tetapi sedikit sebanyak dapat membantu perjuangan rakyat Palestin di sana,” jelasnya.