JASIN - Kerajaan Melaka melalui anak syarikatnya, Perbadanan Bioteknologi Melaka memohon peruntukan sebanyak RM2 juta daripada Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan madani 2024 bagi memperluaskan penternakan udang di Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sempang, Merlimau.
Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Nizam Roslan, berkata sejak projek ternakan itu dilaksanakan pada tahun 2014 dan sehingga sekarang terdapat 17 buah kolam ternakan udang putih termasuk tujuh kolam ternakan udang harimau yang mampu mengeluarkan purata hasil hingga lima tan metrik sebulan.
Menurutnya, menerusi peruntukan itu, anak syarikat kerajaan negeri dapat menambahkan lagi bilangan kira-kira enam buah kolam udang putih untuk memenuhi permintaan pasaran di atas tanah seluas 2.4 hektar, secara tidak langsung menjamin sekuriti makanan negara.
Katanya, usaha itu juga dapat melipat gandakan hasil ternakan udang putih yang berkualiti sepanjang masa sekali gus memberi pulangan balik kepada Perbadanan Bioteknologi Melaka.
"Kita telah mengemukakan permohonan geran kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai perancangan untuk memperluaskan projek ternakan di kawasan ZIA ini.
"Dalam tempoh kira-kira 90 hari sahaja telah dapat menuai hasil sebelum dipasarkan, malah setiap Jumaat kita turut menjual hasil ternakan kepada rakyat negeri ini dengan harga lebih rendah dari harga pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat ZIA di Sempang Merlimau, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka Tee Mei Ghee dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berkata, memandangkan hasil ternakan ini dijual dengan harga berpatutan, pihaknya juga mengesyorkan untuk memasarkan udang tersebut menerusi Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah.
"Kita akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan jualan ini dapat direalisasikan bagi memberi peluang rakyat mendapat barangan mentah dengan harga menjimatkan," katanya.