JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri sedang berusaha mencalonkan sajian beriani Johor dan tarian zapin sebagai Warisan Tidak Ketara di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, pihaknya yakin kedua-dua warisan negeri itu mampu memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh UNESCO bagi mendapatkan pengiktirafan tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha bagi mewartakan beriani Johor dan tarian zapin perlu melalui pelbagai proses dan peringkat.
"Syarat dan kriteria di bawah UNESCO untuk mewartakan warisan ini adalah ketat, selain perlu melalui pelbagai proses dan peringkat termasuk membuat pembentangan, mendapatkan bantuan pakar dan sebagainya.
"Proses ke arah usaha mewartakannya juga akan mengambil masa, mungkin dalam empat hingga lima tahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Beriani Johor sebagai Makanan Warisan Johor di sini pada Khamis.
Sharil Nizam menjelaskan peranan beriani Johor misalnya, signifikan dengan hubungan sejarah antara Johor dan negara lain seperti India serta Parsi yang dihubungkan menerusi perdagangan rempah ratus dan diplomatik.
Beliau berkata, faktor itu sekali gus mempengaruhi budaya makanan di negeri ini yang berkesinambungan hingga ke hari ini.
Menurutnya, sajian beriani Johor mempunyai keunikan kerana mempunyai dua jenis iaitu beriani biasa dan beriani gam yang dihidangkan bersama lauk iringan seperti telur pindang dan garam berlada, selain acar.
"Kalau beriani Johor, menu yang kena ada contohnya telur pindang dan garam lada, di negara atau negeri lain tidak ada (beriani dimakan bersama telur pindang dan garam lada). Jadi, ini yang membezakan beriani kita dengan yang lain,” katanya.
Beliau berkata, tarian zapin pula yang popular di negeri ini, dipersembahkan di pelbagai majlis. - Bernama