IADA Barat Laut Selangor kaji tanaman padi lima musim dua tahun

Iklan
Rozaidi (kiri) mengiringi Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja Jabatan Pertanian Malaysia, Mat Iesak Ngathinee (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah kepada seorang penerima hasil tertinggi tanaman padi semasa Majlis Pelancaran Kitar Semula Bekas Racun dan Pelancaran Produk Baharu Syngenta di BPIT Sungai Burong pada Khamis.

KUALA SELANGOR - Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor masih lagi dalam peringkat kajian berhubung kaedah penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

Pengarahnya, Rozaidi Abdul Rahman berkata, hasil kajian itu nanti akan dimaklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sama ada ia sesuai dilaksanakan di kawasan penanaman padi di Selangor atau pun tidak.

Iklan
Iklan

"Kita akan maklumkan (kajian) dahulu kepada pihak kementerian kerana banyak perkara kita terpaksa buat termasuk menaik taraf infrastruktur perparitan dan pengairan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kitar Semula Bekas Racun dan Pelancaran Produk Baharu Syngenta di Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT) Sungai Burong, di sini pada Khamis.

Iklan

Rozaidi berkata, pada ketika ini, aktiviti tanaman padi dijalankan secara berjadual membabitkan 18,854 hektar kawasan di IADA Barat Laut Selangor.

"Jika kita hendak laksanakan lima musim dua tahun kena kaji terlebih dahulu sistem pengairan kerana pada masa ini terdapat empat blok jadual penanaman padi," jelas beliau.

Iklan

Sebelum ini, KPKM akan memulakan projek rintis penanaman padi lima kali dalam dua tahun membabitkan keluasan 30,000 hektar mulai September ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya memberi tumpuan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terlebih dahulu sebelum diperluas ke kawasan lain.