Kanak-kanak mangsa dera kini di bawah jagaan JKM

Iklan
Khairin-Nisa (kanan) melawat kanak-kanak lelaki mangsa dera bapa kandung dan teman wanitanya di HSA, Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Kanak-kanak lelaki yang disyaki menjadi mangsa dera bapa kandung dan teman wanitanya kini di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, JKM Johor bertanggungjawab terhadap semua urusan kanak-kanak tersebut sehingga sihat dan dibenarkan keluar hospital.

Iklan
Iklan

"Selepas keluar hospital pihak JKM akan menjaganya sebelum berhubung dengan ahli keluarga kanak-kanak tersebut. Jika ibu kandungnya layak selepas siasatan dan penilaian dilakukan, JKM akan serahkan hak penjagaan kepadanya.

"Semuanya perlu mengikut prosedur dan syarat yang sudah ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Terdahulu beliau melawat kanak-kanak tersebut di HSA dengan diiringi Timbalan Pegawai Kebajikan Masyarakat, Herman Anak Untam; Pelindung Kanak-Kanak JKM, Zaid Ikhwan Lim dan Presiden Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (Jewel), V Thanam.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, penderitaan kanak-kanak lelaki itu yang didera sejak enam bulan lalu berakhir selepas disedari pengadu yang juga jirannya sebelum diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.

Iklan

Menurut Pengasas Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor, M Caren Nantheny, 46, mangsa tinggal bersama bapa kandung dan teman wanitanya itu bersama anak wanita berkenaan yang berusia tiga tahun di Taman Pulai Jaya, Skudai di sini.

Caren berkata, pihaknya dan Persatuan Penduduk India Kangkar Pulai meminta bantuan polis dan JKM selepas suspek tidak memberikan kerjasama apabila mereka mahu melihat keadaan mangsa pada malam Khamis sebelum kedua-duanya berusia 37 dan 39 tahun diberkas pada petang Jumaat.

Mengulas lanjut, Khairin-Nisa berkata, bagi mengelak kejadian sama berulang komuniti setempat perlu memainkan peranan dengan melaporkannya kepada pihak polis sekiranya berlaku penderaan terhadap kanak-kanak atau wanita di kawasan mereka.

Katanya, komuniti berkenaan boleh melaporkan sebarang bentuk penderaan dan penganiayaan menerusi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam.

Menurutnya, tindakan penduduk taman tersebut yang prihatin dengan melaporkan kejadian dera budak lelaki berkenaan kepada NGO terbabit dan pihak polis baru-baru ini amat dihargai.

Ujar Khairin-Nisa, bapa kandung dan teman wanitanya kini direman bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

"Kes akan disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, pesalah akan dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali terutama mereka yang melakukan penderaan, pengabaian, cuai serta pendedahan kepada kanak-kanak," katanya.