KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Md Jidin pada Khamis mempersoalkan cadangan pelaksanaan gaji progresif yang tidak pun diumumkan dalam Belanjawan 2024, walaupun sebelum ini pendekatan tersebut kerap kali diuar-uarkan.
Bekas Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli seolah-olah begitu yakin gaji progresif akan dimasukkan dalam belanjawan dan dilaksanakan pada tahun depan.
Namun begitu, Radzi berkata, perkara itu berlaku sebaliknya, dan menegaskan Belanjawan 2024 sepatutnya memberi gambaran yang jelas tentang hala dan dasar yang ingin dibawa oleh kerajaan.
"Jadi apabila Belanjawan 2024 dibentangkan, tidak kedengaran sepatah pun disebut mengenai dasar gaji progresif, apatah lagi tentang model dan tarikh pelaksanaannya, langsung tidak disebut.
"Kecelaruan dasar ini menghantar isyarat yang tidak baik kepada kumpulan pekerja dan komuniti perniagaan.
"Apakah sebenarnya yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan berkaitan dasar gaji progresif? Adakah benar ia akan melibatkan subsidi, dan jika benar berapa jumlahnya?," soalnya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Pada 24 Ogos lalu, Rafizi dilaporkan berkata, dasar sistem gaji progresif telah diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024.
Katanya, sistem itu dijangka dilaksanakan pada April atau Mei tahun depan, dan atas alasan itu dasar tersebut perlu dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2024.
Namun begitu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu tidak mengumumkan perkara tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika bangkit mencelah perbahasan Radzi berkata, beliau juga hairan mengapa Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan boleh memiliki 'keyakinan' bahawa gaji progresif akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024.
"Kita banyak kali membaca kenyataan yang dibuat oleh Menteri Ekonomi berkenaan gaji progresif. Beliau begitu yakin dan saya pun tidak tahu bagaimana beliau boleh mendapat keyakinan begitu, gaji progresif ini dimasukkan (dalam Belanjawan 2024) tetapi tiba-tiba tak ada...
"Bagaimana nak berhadapan dengan rakyat kerana terlalu banyak pertanyaan di luar?," soalnya kepada Radzi.
Menjawab lanjut, Radzi berkata kerajaan sepatutnya mengadakan berbincangan dengan lebih terperinci mengenai cadangan gaji progresif sebelum membuat kenyataan lanjut.
"Buat kerja elok-elok dahulu... bila dah ada kerangka yang jelas baru sembang di luar (kepada umum). Kami di pihak pembangkang bersedia menyokong apa jua pendekatan yang baik untuk rakyat," tambah beliau.
Selain pelaksanaan gaji progresif, Radzi juga berkata beberapa langkah yang diumumkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2024 didakwa tidak memperincikan mekanisme, antaranya melibatkan pengapungan harga ayam dan telur. - Awani