KUALA LUMPUR - Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada khamis memberi jaminan badan kehakiman Malaysia melalui prinsip kedaulatan undang-undang yang didukung oleh kerjasama ASEAN, akan terus melaksanakan fungsinya tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak tertentu.
Dalam ucapan alu-aluannya pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang ASEAN (ALA) ke-14 2023 di sini pada Khamis, Tengku Maimun berkata, adalah penting untuk mengiktiraf walaupun rantau ASEAN mempunyai ciri sistem perundangan yang berbeza, prinsip kepatuhan kepada kedaulatan undang-undang dan menggalakkan tadbir urus yang baik, namun membentuk inti pati landskap undang-undang kita yang pelbagai.
"Aspirasi bersama ini, pada pandangan saya mewakili satu daripada asas jalinan warna-warni ASEAN; Kebanggaan Kami,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri amat percaya dengan prinsip ‘kanonik’ dan sokongannya menunjukkan bagaimana eksekutif dan badan kehakiman boleh terus melaksanakan fungsi mereka secara bebas antara satu sama lain namun, pada masa yang sama, memberikan sokongan yang diperlukan.
"Malah, di sebalik perbezaan kami dan sebagai ahli profesion undang-undang di rantau ASEAN, kami berkongsi dedikasi untuk mengejar keadilan.
"Kewajipan ini melangkaui sempadan negara dan sistem perundangan. Dan dengan melihat keadaan dengan cara yang lebih luas atau lebih umum, komitmen kolektif kami terhadap keadilan, tanpa mengira latar belakang masing-masing, menegaskan semula perpaduan kami dan mengukuhkan tekad kami ketika kami terus menegakkan kedaulatan undang-undang dan menggalakkan kerjasama di rantau ASEAN,” katanya.
Selain itu, Tengku Maimun juga menghargai hakikat bahawa persidangan hari ini menyatukan minda cemerlang dari pelbagai negara, budaya dan sistem perundangan.
"Pada padangan saya, dalam gabungan perspektif yang harmoni ini, kita boleh mencari penyelesaian kepada masalah rumit yang melanda rantau kita,” katanya.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Hakim Negara Singapura merangkap Presiden ALA, Sundaresh Menon dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Mohd Azmi. - Bernama