KUALA LUMPUR - Isu bilik sewa sangkar burung terus berleluasa di negara ini kerana terdapat permintaan yang tinggi daripada golongan pekerja berpendapatan rendah.
Hal ini sekali gus menyebabkan segelintir pemilik premis tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyediakan bilik seumpama itu untuk disewakan.
Menurut Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, isu ini bersifat dua hala, ada permintaan bermakna ada bekalan.
"Penyewa juga perlu bertanggungjawab dalam memilih kediaman yang lebih mengutamakan aspek keselamatan berbanding bilik sewa sangkar burung.
"Kerajaan telah menyediakan banyak kemudahan dan opsyen kediaman antaranya seperti rumah transit, rumah belia, rumah mampu milik dan Program Perumahan Rakyat (PPR).
"Sewajarnya penyewa memilih kemudahan tersedia dalam memilih kediaman," ujar beliau.
Terdahulu, Kor Ming turun padang dalam Operasi Khas Ke Atas Premis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) disertai KPKT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas sebuah premis di Taman Maluri, di sini pada Khamis.
Operasi serbuan itu bertujuan bagi mengenal pasti wujudnya bahaya kebakaran di premis yang telah dibuat pengubahsuaian menjadi bilik-bilik sewa sangkar burung di tengah-tengah ibu kota.
Serbuan julung-julung kali disertai menteri KPKT itu diadakan susulan laporan pembongkaran eksklusif Sinar Harian bertajuk Bilik Sewa Sangkar Burung bertarikh 10 Oktober lalu.
Laporan itu turut mendedahkan kewujudan bilik sewa sangkar burung (sempit seperti liang lahad) yang semakin banyak umpama cendawan selepas hujan.
Tegas beliau lagi, kerajaan mengambil serius isu membimbangkan ini dan komited untuk membela nasib rakyat.
Jelas Kor Ming, pihaknya turut tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang mengubah suai premis sesuka hati tanpa kebenaran pihak berkuasa.
"Saya memberi amaran tegas kepada pemilik-pemilik premis yang mengambil mudah soal kesihatan awam dan nyawa manusia, untuk segera menghentikan pengubahsuaian tanpa nasihat dari JBPM dan pihak berkuasa tempatan," katanya.