DUNGUN - Politeknik Sultan Zainal Abidin (PSMZA) berjaya mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) melalui pembinaan jam matahari pertama di politeknik di negara ini.
Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata, jam matahari tersebut ditempatkan di kawasan dataran PSMZA bagi kegunaan warga politeknik di samping mendidik pelajar untuk memahami kaedah pengiraan waktu zaman dahulu.
Menurutnya, jam matahari tersebut juga menjadi salah satu tarikan pengunjung dan pelawat di Politeknik PSMZA.
"Program ini turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sijil pengiktirafan MBOR berkenaan telah diserahkan kepada Pengarah PSMZA, Zamra Derahman oleh pihak MBOR pada program Industrial Empowerment Day 2023.
Katanya, program Industrial Empowerment Day 2023 merupakan program empat dalam satu yang merangkumi Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik, Majlis Pengiktirafan MBOR, 'Industrial Talk' dan Mesyuarat Penasihat Industri.
"Kejayaan penganjuran program ini telah membuka langkah baharu kepada pengamal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).
"Ia secara tidak langsung mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan agar mempunyai nilai kompetensi yang boleh menarik minat majikan di luar sana," ujarnya.